Monday, December 15, 2008

Detailed Announcement On ASB 2008 Dividends (In Malay only)

Below is the detailed announcement so far but in Malay only.

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak tujuh sen dan bonus 1.75 sen seunit bagi tahun kewangan 31 Disember 2008, menjadikan pulangan keseluruhan 8.75 sen seunit.

Jumlah pengagihan pendapatan ASB adalah lebih rendah berbanding tahun lalu yang berjumlah lapan sen tetapi pembayaran bonus, sebaliknya meningkat 0.75 sen seunit daripada satu sen sebelumnya.

PNB pernah mengumumkan pengagihan pendapatan dan bonus tertinggi berjumlah 11.25 sen pada 2000, yang mana 9.75 sen bagi agihan pendapatan, manakala dua peratus adalah bonus.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pengagihan pendapatan ASB, dana amanah berharga tetap RM1, itu dibuat berdasarkan situasi ekonomi semasa negara.

“Tahun kewangan 2008 merupakan tahun kewangan yang mencabar bagi pengurus pelaburan dana ASB berikutan krisis kewangan serta kredit dan sebagai sebuah pasaran terbuka, ekonomi dan pasaran saham Malaysia juga turut terjejas.

“Meskipun demikian, melalui strategi pelaburan yang berhemat, ASB masih mampu menjana pendapatan yang memberangsangkan,” katanya pada sidang akhbar untuk mengumumkan pengagihan pendapatan ASB di sini hari ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman yang turut hadir berkata, PNB sebenarnya mampu membuat agihan pendapatan ASB sebanyak 11 peratus pada tahun ini.

Bagaimanapun, sebanyak empat peratus daripada pendapatan ASB itu dirizabkan ke tahun hadapan sebagai persiapan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia.

Ahmad Sarji berkata, PNB memperuntukkan sebanyak RM4.22 bilion untuk pengagihan pendapatan ASB dan pembayaran bonus pula sebanyak RM678.03 juta.

Pembayaran itu akan dimanfaatkan kepada 6.56 juta pemegang unit dengan jumlah langganan sebanyak 62 bilion ASB.

Sehingga 10 Disember 2008, ASB telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM5.14 bilion.

Menurutnya, pendapatan dividen syarikat-syarikat pelaburan mewakili RM3.12 bilion atau 60.71 peratus daripada jumlah pendapatan kasar manakala keuntungan daripada penjualan saham pula sebanyak RM1.58 bilion atau 30.75 peratus.

Pendapatan sebanyak RM439 juta atau 8.54 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pelaburan lain.

Kata beliau, pengiraan pengagihan pendapatan dibuat berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASB yang berakhir pada 31 Disember 2008.

Pengiraan bonus pula berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan yang dimiliki pelabur dalam tempoh 10 tahun bermula dari 1999 sehingga 2008.

Pembayaran agihan pendapatan dan bonus ASB akan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit dan pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASB mulai 2 Januari 2009.

Semua urus niaga bagi ASB akan ditangguhkan bermula pada 19 Disember 2008 sehingga 1 Januari 2009 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus.

No comments: