PNB Will Not Invest Overseas... Good!
KUALA LUMPUR 22 Dis. - Permodalan Nasional Bhd. (PNB), firma pelaburan terbesar di negara ini, belum bercadang menggunakan dana-dana pelabur tempatan untuk dilaburkan ke luar negara.
Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, polisi PNB yang membenarkan para pelaburnya mengeluarkan wang pada bila-bila masa merupakan salah satu faktor yang menyukarkannya untuk berbuat demikian.
''PNB bukan tidak mahu menggunakan wang dana pelaburan rakyat tetapi kita perlu faham bahawa PNB adalah institusi unik yang membenarkan para pelaburnya mengeluarkan wang pada bila-bila masa,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas beliau, sekiranya PNB melaburkan dana orang ramai ke luar negara, PNB akan menghadapi masalah sekiranya pelabur hendak mengeluarkan wang masing-masing, selain pelbagai masalah lain seperti pertukaran mata wang serta risiko yang tinggi.
Oleh sebab itu, tambah beliau, PNB tidak mahu mengambil sebarang risiko sebaliknya perlu mengutamakan pulangan dan perlindungan terhadap risiko kecairan pelaburan.
Ditanya tempoh masa PNB bersedia melaburkan dana tersebut ke luar negara, Hamad Kama Piah berkata: ''Ini bukan soal masa tetapi keutamaan PNB sekarang adalah memastikan sama ada sebarang tindakan (pelaburan) mendatangkan kebaikan kepada dana atau sebaliknya''.
Beliau tidak menafikan ada kebaikan menggunakan dana pelabur untuk pelaburan luar negara tetapi risikonya juga tinggi.
''Sebab itu, sebelum membuat sesuatu keputusan pelaburan PNB mengambil kira semua aspek berkenaan kerana pada akhirnya kita perlu memastikan bahawa PNB mampu memberi pulangan kepada pelabur.
''PNB tidak boleh gagal menguruskan dana para pelabur, jadi kita perlu memastikan PNB betul-betul bersedia, baru kita boleh membawa pelaburan tempatan ke luar negara,'' kata beliau.
Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, PNB sedang membuat persiapan untuk berhadapan dengan situasi ekonomi yang dijangka terjejas pada tahun depan.
''Dalam aspek ini kita perlu mengakui, keadaan ekonomi yang tidak menentu dijangka turut akan menjejaskan pendapatan syarikat-syarikat kita.
''Sebab itu PNB perlu bersiap sedia untuk memastikan syarikat-syarikat PNB ini masih mampu memberi pendapatan kompetitif meskipun dalam keadaan sukar,'' ujarnya.