KUALA LUMPUR 10 April - Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB) telah mengisytiharkan agihan pendapatan interim 3.25 sen seunit yang akan melibatkan anggaran pembayaran berjumlah RM32 juta kepada pemegang-pemegang Unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac lepas.
Menurut anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) dan Mayban Investment Management Sdn. Bhd. (Mayban Investment Management) itu, kadar itu bersamaan dengan 6.50 peratus kadar pulangan tahunan apabila ditanda aras terhadap pendapatan 12 bulan Akaun-i Pelaburan Am, Maybank Islamic Bhd.
Syarikat itu menyatakan, agihan pendapatan AHB, akan dibuat pada setiap enam bulan bagi tempoh berakhir 31 Mac dan 30 September setiap tahun dan pembayaran pertama tahun ini akan dikreditkan terus ke dalam akaun-akaun bank pemegang unit.
Kata syarikat itu lagi, pembayaran itu merupakan agihan pendapatan yang ketiga dibuat oleh AHB kepada pemegang-pemegang unit amanahnya dengan tahun lepas, sejumlah RM50 juta telah dibayar - RM19 juta untuk agihan pendapatan pertama dan RM31 juta untuk agihan pendapatan kedua.
Sejak diperkenalkan pada November 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, AHB telah mendapat sambutan menggalakkan dengan satu bilion unit telah dilanggan.
AHB adalah dana yang pertama seumpamanya ditawarkan di negara ini dengan menawarkan harga tetap RM1.00 seunit.
Ia merupakan dana unit amanah bersandarkan hartanah patuh syariah yang membolehkan pelabur-pelabur bumiputera menyertai pemilikan aset hartanah dengan pelaburan permulaan minimum RM500.
Dana itu telah mengisytiharkan agihan pendapatan pertamanya sebanyak 2.17 sen untuk tempoh kira-kira empat bulan berakhir 31 Mac 2011, dividen 3.25 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 30 September 2011.
Untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2012, agihan pendapatan interimnya ialah 3.25 sen seunit (bukannya RM3.25 sen seperti yang dilaporkan akhbar hari ini).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, PHB kini sedang berusaha mengembangkan saiz dana itu bagi memupuk kesaksamaan pemilikan bumiputera dalam bidang hartanah komersial perdana di negara ini.
Beliau berkata, untuk memastikan portfolio PHB kekal kompetitif, inisiatif-inisiatif yang padu telah dilaksanakan secara aktif untuk memperoleh gabungan hartanah-hartanah yang lebih dinamik.
"Kami juga telah melancarkan aktiviti-aktiviti seperti Program Peningkatan Aset untuk menambahbaik bangunan-bangunan kami bagi memastikan portfolio-portfolio di bawah PHB terus mengekalkan tarikan dan nilainya di dalam pasaran," katanya dalam kenyataan akhbar.
AHB diuruskan oleh Mayban Investment Management, ditaja oleh PHB sementara pemegang amanah Dana ini adalah AmanahRaya Trustees Bhd..
No comments:
Post a Comment